Ira Kazar Hamil, Ini Pesan Mak Syamsul Yusof. Memang SENTAP Kalau Jadi Ira Kazar

 


ENGGAN lagi memanjangkan isu rumah tangga anaknya berkahwin dua, penerbit Datuk Yusof Haslam lebih selesa mengambil langkah berdiam diri daripada mengulas kontroversi melibatkan Syamsul Yusof.


Yusof berkata, tindakan itu juga sebagai menjaga hati isteri, Datin Patimah Ismail yang kini masih bersedih selepas Syamsul mengumumkan pernikahannya dengan Ira Kazar pada awal Januari lalu.


Penerbit dan pengarah itu juga enggan mengulas khabar angin mendakwa Ira kini sedang hamil.


"Dia hamil atau tidak saya tak tahu. Saya tak nak komen.


"Saya tidak mahu lagi komen tentang Syamsul. Cukup-cukuplah. Banyak hati yang perlu dijaga. Isteri saya pun masih dalam keadaan sedih.


"Dia juga pesan agar tidak bercakap banyak kerana tahu wartawan akan mengejar saya hari ini (Isnin)," katanya kepada media.


Yusof ditemui ketika majlis tayangan perdana filem Harum Malam yang berlangsung di GSC Starling Mall, Petaling Jaya pada malam Isnin.


Memahami kedudukannya sebagai seorang yang dikenali, Yusof juga dalam masa sama tidak mengelak bertemu sekumpulan media ketika diserbu pada majlis tersebut.


"Sebagai orang seni, saya kena jawab apabila ditanya. Menjadi sasaran di media sosial juga adalah satu perkara yang perlu saya sedia daripada awal.


"Saya kena hormat kerja wartawan yang menjalankan tugas. Kalau ditanya saya akan cuba jawab sebaik mungkin," ujarnya.


Dalam pada itu, Yusof turut enggan mengulas apabila ditanya sama ada Syamsul sudah bertemu dengannya dan isteri selepas dilaporkan sudah lama tidak pulang ke rumah.


Yusof berkata, sebagai bapa dia sentiasa menyokong apa sahaja kerja yang sedang dilakukan Syamsul dan berharap segala masalah akan dapat diselesaikan segera.


“Saya tak nak cakap Syamsul balik rumah atau tidak. Saya sentiasa doakan untuk Syamsul, Puteri Sarah dan dua cucu saya.


“Saya tahu Syamsul pun tengah tertekan sekarang. Saya tetap sayang dia. Walau sebelum ini kata-kata saya macam marah, tapi itu hanya di mulut sahaja. Hati tetap sayang.


“Soal apa yang berlaku di masa akan datang, biarlah Allah tentukan,” ujarnya.


Pada 5 Januari lalu Syamsul menggemparkan dunia seni apabila dia mengakui sudah bernikah dengan Ira di Thailand.


Selepas kisah tersebut hangat di perkatakan, Syamsul dan isteri pertamanya Puteri Sarah Liyana saling berbalas komen di media sosial namun dilihat masih belum bertemu penyelesaian terhadap kemelut rumah tangga mereka.


Rentetan itu, pada 15 Januari, Puteri Sarah bertindak memfailkan perceraian secara baik di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur terhadap Syamsul.


Syamsul dan Puteri Sarah bernikah pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5.