"Tertuduh Sendiri Ambil Beg & Beri Pada..." DJ Ismahalil Menangis Berdepan Hukuman Gantung

 SAASSS

KUALA LUMPUR – Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah menangis sambil memandang ke arah isteri dan anak-anaknya, selepas diperintah untuk membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismahalil, 49, di akhir kes pendakwaan.


Ketika membaca keputusan penghakiman ringkasnya, Muhammad Jamil berkata, pasukan pendakwaan mengemukakan keterangan yang boleh dipercayai bagi membuktikan elemen kesalahan dalam pertuduhan.

Menurutnya, mahkamah mendapati 22 peket dadah yang ditemui dalam bilik tertuduh, berada dalam kawalan dan jagaannya.

"Semasa serbuan di bilik itu, tertuduh sendiri mengambil beg, yang mengandungi dadah dari lantai dan memberinya kepada pegawai polis selepas ditanya sama ada terdapat barang salah.

Kelakuan tertuduh yang mengambil sendiri beg itu dan dilihat berada dalam keadaan mencurigakan menunjukkan tertuduh mengetahui kewujudan dadah tersebut," katanya.

Justeru itu, beliau berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan dadah berkenaan berada dalam kawalan tertuduh.

Katanya, peguam yang mewakili tertuduh membangkitkan bahawa anak guamnya tidak mempunyai pengetahuan, kawalan dan jagaan dadah berkenaan adalah tidak merit dan tiada sebarang isu mengenai identiti dadah.

smahalil kemudiannya diberi tiga pilihan iaitu pertama, memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Pilihan kedua pula, memberi kenyataan tidak bersumpah dari kandang saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan sementara ketiga, berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan.

Mendengar perkara itu, Ismahalil berunding dengan peguamnya dan mengambil pilihan pertama.

Semasa prosiding, peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Ismahalil berkata, pihaknya akan memanggil lima saksi termasuk anak guamnya, untuk prosiding bela diri itu.

“Saya cadangkan prosiding dibuat pada 30 dan 31 Mei ini,” katanya yang turut dibantu oleh peguam, Adi Zulkarnain Zulkafli.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad, tidak membantah cadangan berkenaan dan dipersetujui oleh hakim.

Pada 21 Februari tahun lalu, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula Oktober 2022 lalu.