TERKINI ! Hafidz Roshdi SAH 'Sudah‘ MASUK Hospital Bahagia

 


Pelakon Hafidz Roshdi dilaporkan sudah pergi ke Hospital Bahagia kelmarin bagi menjalani rawatan psikiatri selepas diperintahkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu.


Keputusan mahkamah itu dibuat sewaktu perbicaraan kes terkait pada 13 Mac lalu.


Memetik Sinar Harian, peguam Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi berkata bahawa pelakon itu sudah pergi ke hospital berkenaan untuk menjalani rawatan.


Namun setakat ini, belum ada keputusan rasmi yang dikeluarkan oleh hospital berkenaan berkaitan tahap kesihatan psikatri beliau.


“Hafidz sudah ke Hospital Bahagia semalam bagi menjalani rawatan psikiatri itu, namun keputusan belum dikeluarkan oleh doktor kerana ada beberapa prosedur rawatan yang perlu diikutinya lagi.


“Bila keputusan pemeriksaan akan dikeluarkan bergantung kepada doktor. Cuma di pihak Hafidz, dia sudah mengikuti pemeriksaan itu sebagaimana yang diperintahkan mahkamah sebelum ini,” kata Akberdin. 


Sewaktu bertanya sama ada Hafidz sudah bertemu dengan anak-anaknya sepanjang tempoh rawatan, Akberdin berkata bahawa anak guamnya tiada halangan untuk bertemu cahaya matanya.


Hafidz diarahkan untuk menjalani rawatan psikiatri

Terdahulu, pelakon itu telah diperintahkan untuk dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri.


Keputusan itu telah diarahkan oleh Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak selaku Majistret dalam perbicaraan kes beliau bersama isterinya.


Arahan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar membuat permohonan agar pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah dilakukan ke atas Hafidz.


Muhammad Hafidz Roshdi, 29 tahun sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri. Kejadian itu dilaporkan berlaku di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya pada 2 Mac lalu sekitar jam 3.30 pagi.


Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, pelakon itu telah didakwa melakukan kecederaan tersebut dengan sengaja terhadap Nurul Shuhada.


Beliau didakwa telah menumbuk menggunakan tangannya sebanyak tiga kali di muka mangsa sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kirinya.