LAGI TRAGEDI AIDILFITRI ! 4 Sekeluarga Termasuk Kanak-Kanak Pengsan Dalam Kereta Di Plaza Tol Bentong


Empat individu didapati tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora di Plaza Tol Bentong, petang tadi.



Menerusi Facebook Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), kejadian yang berlaku pukul 2.40 petang itu melibatkan seorang lelaki, seorang wanita dan dua orang kanak-kanak.


“Kejadian berlaku di Plaza Tol Bentong (arah ke Kuala Lumpur) dan punca kejadian masih dalam siasatan. Petugas JSPT yang berada di lokasi turut hadir membantu.



“Kesemua mangsa yang pengsan dibawa ke Hospital Bentong dengan menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.


“JSPT bersimpati dengan kejadian yang menimpa mangsa sekeluarga dan berdoa semoga kesemua mangsa diberi kesembuhan seperti sedia kala,” katanya.



JSPT turut menasihati orang ramai agar memastikan kenderaan dalam baik dan mengambil rehat secukupnya sebelum memandu ekoran cuaca panas terik dan hujan yang tidak menentu.