Shahida Bertarung Nyawa 15 Jam Dalam Dewan - “Dia keluar tangan dulu bukan muka”


USAHAWAN sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri memaklumkan isterinya, Datin Seri Nur Shahida selamat melahirkan bayi lelaki di pusat perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur sekitar pukul 3 petang pada Isnin.


Aliff, 36, berkata, Shahida hampir menjalani pembedahan akibat bertarung dengan komplikasi bayi yang mengeluarkan tangan terlebih dahulu.


Bagaimanapun, selepas 15 jam bertarung, Shahida selamat melahirkan cahaya mata keenam mereka secara normal.




"Sejak pukul 5 pagi isteri saya berada dalam bilik bersalin dan sekitar pukul 3 petang tadi baharu bayi kami selamat dilahirkan.


"Pada mulanya doktor mahu melakukan pembedahan kerana bayi mengeluarkan tangan terlebih dahulu dan bukannya muka.


"Namun, saya bersyukur sangat semuanya dipermudahkan dan isteri saya dapat bersalin secara normal," katanya ketika dihubungi mStar.


Dalam pada itu, Aliff memberitahu dia sebenarnya mahu mempunyai anak yang ramai, namun disebabkan isterinya sudah tidak mahu menambah zuriat, dia akur dan menghormati keputusan itu.


Kata Aliff, dia menghargai pengorbanan Shahida, lebih-lebih lagi pengalaman mengandung kali ini adalah yang paling sukar buat isterinya itu.


"Saya suka suasana anak yang ramai. Kalau ikutkan saya mahu 12 orang anak tetapi isteri saya nak tutup ‘kilang’ sebab dia pun dah tak larat.


"Anak kali ini dugaan yang saya nampak adalah pada isteri saya kerana mungkin faktor usia. Dia banyak sangat alahan.


"Saya berterima kasih kepada isteri dan doakan agar kesihatan isteri dan anak saya baik-baik saja," ujarnya.


Sementara itu, Shahida menerusi Instastory memaklumkan ini merupakan pengalaman pertama melahirkan anak dengan kondisi seperti itu.




Shahida menceritakan situasi anaknya yang lahir dengan mengeluarkan tangan terlebih dahulu.


"Masya Allah budak kecil ni keluar tangan dulu nak minta duit raya. Itu yang lama sangat nak suruh masukkan tangan tapi tak masuk-masuk.


"Akhirnya, keluar juga tangan dulu baharu muka. Pertama kali juga saya ada pengalaman macam ni. Memang sakit sikit dari sebelum ini. Apa pun syukur selamat semuanya," katanya.


Untuk rekod, Aliff mendirikan rumah tangga dengan Shahida pada Ogos 2007.


Pasangan ini dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi dan Raudah Arshiyah.