Al-Fatiahah Salam Takziah Shuhada, Kehilangan Org Tersayang

 


Isteri kepada pelakon, Hafidz Roshdi, iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, mengesahkan dirinya mengalami keguguran pada usia kandungannya 14 minggu.


Kata ibu kepada dua cahaya mata, Humairah, 6, dan Umar, 2, kepada BH Online, dia menerima ketentuan Allah bahawa dirinya tidak dapat menimang anak ketiganya itu dengan hati yang terbuka.


“Ya, saya mengalami keguguran ketika saya sedang menjalankan solat Subuh, pada sujud terakhir dan ketika tahiyat akhir, saya perasan saya pendarahan keluar. Saya teruskan juga solat dan selepas selesai solat, barulah saya sedar saya mengalami pendarahan yang agak teruk.


“Dan saya sekarang dalam proses berpantang. Saya terima semua ini dengan hati yang reda dan lapang dada sebab saya tahu ada anak yang menanti saya di syurga. Ya Allah, saya sudah ada anak di syurga,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.


Bagaimanapun, Nurul Shuhada memohon untuk tidak mendedahkan tarikh kegugurannya bagi menghormati privasinya.


Kata Nurul Shuhada, dia reda dengan semua ujian Allah dan meletakkan kepercayaannya pada Allah.


Dalam pada masa sama, Nurul Shuhada turut menafikan dia melakukan penggguguran secara haram.


“Sebab saya tahu Allah lebih mengetahui semua yang berlaku. Jadi, saya meminta doa yang baik-baik.


“Dan atas pendapat ahli keluarga saya dan peguam, saya berkongsi semua ini juga bagi menafikan dakwaan melakukan pengguguran secara haram.


“Jadi, saya nak mengelak tuduhan tak berasas lagi selepas ini,” katanya kepada BH Online.


Mengulas mengenai harapan terhadap prosiding pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor, esok pagi, Nurul Shuhada berkata, dia berdoa agar Allah memudahkan segala urusannya.


“Saya sangat berharap Allah redakan hati saya dan lapangkan hati saya untuk menerima apa saja yang akan berlaku. Dan saya sangat berharap Allah permudahkan segalanya dan semuanya selesai esok,” katanya.


Pada 13 April lalu, Nurul Shuhada berkongsi menerusi entri terbaharu dalam Instagram (IG), dirinya sedang hamil anak ketiga, jadi perlu kuat walaupun sedang berdepan pelbagai tekanan.


Terdahulu, Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian terhadap Hafidz di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.


Sebelum itu, adik Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz bercerai talak satu terhadap kakaknya pada 22 Februari lalu menerusi panggilan telefon.


Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.