"WATAK TOK WAN BERBULU TAK WUJUD !" - Siap TUNJUK BUKTI ! Polis Dedah Kisah Sebenar Budak 6 Tahun Pandu Kereta.



SELEPAS tular cerita yang mengaitkan unsur mistik dalam kejadian kanak-kanak lelaki berusia enam tahun memandu kereta sebelum terbabas pada Selasa, akhirnya teka-teki mengenai kesahihannya terjawab.


Berdasarkan siasatan polis, tiada sebarang unsur mistik dalam kejadian tersebut, sebaliknya kanak-kanak berkenaan sebenarnya tahu cara memandu kereta termasuk mengendalikan pedal minyak.


Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, kanak-kanak berkenaan ditemu bual semasa dibawa ke Balai Polis Trafik Langkawi, selain keterangan ibu bapanya juga diambil.


"Kanak-kanak berkenaan turut menunjukkan cara menghidupkan enjin kereta serta mengendalikan gear undur serta jalan ke hadapan ketika pegawai penyiasat memintanya mengulangi perbuatan tersebut untuk membantu siasatan.


"Pada malam kejadian, kanak-kanak terbabit mengundurkan kereta dahulu sebelum keluar dari pekarangan rumah.


"Mereka dikatakan ingat laluan berkenaan dan jarak rumah dengan kedai yang ingin dituju sejauh lima kilometer, namun terlibat kemalangan ketika sudah memandu separuh jalan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.


Tambah beliau, pemeriksaan menerusi kamera papan pemuka kereta bagaimanapun mendapati pemanduan kanak-kanak itu tidak begitu stabil.


"Kalau kita lihat sedikit ke lorong bertentangan dan kadang ke kiri dan kanan," ujarnya lagi.


Terdahulu, media melaporkan kisah seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan selepas kereta yang dipandunya terbabas dalam kejadian di Jalan Bukit Tangga, Titicawang, Langkawi di Kedah.


Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.25 malam, Selasa lalu, mengejutkan penduduk kampung yang menyelamatkan mangsa apabila mendapati kereta jenis Vios itu dipandu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun bersama adiknya berusia tiga tahun.


Akibat kejadian itu, kanak-kanak lelaki tersebut luka pada dagu manakala adik lelakinya tidak cedera.


Tidak lama selepas itu, tersebar pula rakaman audio daripada aplikasi Whatsapp, yang didakwa perbualan kanak-kanak lelaki berkenaan yang menceritakan semula kejadian tersebut kepada seorang wanita, dipercayai ahli keluarganya.


Menerusi perbualan tersebut, kanak-kanak lelaki berkenaan berkata terdapat dua individu lain yang ada bersama di dalam kereta dengan lelaki tua berbadan besar dan berbulu yang digelar 'tok wan' dikatakan memandu kenderaannya.


Sementara itu dalam perkembangan yang sama, warga maya turut melakukan 'siasatan' dan mendedahkan sebuah klip video sebagai bukti bahawa tiada unsur mistik dalam kejadian tersebut.


Menerusi klip video tersebut, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki sedang bermain permainan simulasi kereta, dan didakwa menyerupai kanak-kanak yang terbabit dalam kemalangan tersebut.