[Video] Gadis buta ini peroleh ‘Golden Buzzer’, tawan hati juri America’s Got Talent

 


RANCANGAN realiti teleyisyen membuka ruang buat sesiapa sahaja untuk menunjukkan bakat terpendam sekali gus memberikan platform untuk mengapai impian yang mungkin menjadi nyata.


Bagi gadis dari Indonesia, Putri Ariani, 17 tahun, impiannya mungkin tercapai selepas memberikan persembahan memukau dalam America`s Got Talent malah mendapat Golden Buzzer yang jarang diberikan, terutama daripada Simon Cowell.


Ketika memperkenalkan diri kepada para juri, Putri menjelaskan impiannya untuk melanjutkan pengajian di sekolah musik terkemuka di Amerika Syarikat, Juiliard dan menambah: “Impian saya ingin menjadi seorang diva seperti Whitney Houston dan memenangi anugerah Grammy.”


Putri memulakan persembahannya dengan piano dan menyanyikan lagu ciptaan sendiri yang memukau penonton dan juga para juri, dan seterusnya Simon naik ke pentas dan memintanya mempersembahkan sebuah lagu lagi.


“Saya beritahu Putri, saya suka sangat suaranya, saya mahu dia menyanyikan lagu kedua,” jelas Simon.


“Lagu ini untuk anda,” kata Putri sebelum mendedikasikan lagu Elton John yang turut dipopularkan oleh kumpulan Blue, Sorry Seems to be the Hardest Word kepada Simon.


Persembahan tersebut cukup memukau sehingga membuatkan para penonton memberikan standing ovation selepas selesai menyampaikannya dengan cara tersendiri.


“Saya fikir kita semua merasainya, anda berusia 17 tahun, boleh menulis lagu dan mempunyai suara yang sangat tersendiri. Ia sangat bagus dan ada sesuatu mengenai anda,” kata Simon sebelum menekan Golden Buzzer.


Putri kini merupakan salah seorang peserta akhir dalam AGT musim 18. Dia akan bersaing dengan peserta lain daripada pelbagai latar belakang untuk merebut hadiah bernilai AS$1 juta dan kongtrak persembahan di Las Vegas.


Nama Putri Ariani mungkin hanya dikenali selepas videonya tular tetapi gadis kelahiran Riau ini mula dikenali di negara kelahirannya selepas dia menang Indonesia’s Got Talent pada 2014, ketika usianya lapan tahun.


“Salah satu cabaran saya adalah orang melihat saya sebagai orang buta dan bukan sebagai penyanyi, tetapi bila saya menyanyi saya rasa seperti seorang legenda,” katanya.


Dia mula menyanyi ketika berusia dua tahun, meniru bunyi yang didengarinya. Ibu bapanya menyokong bakatnya dan mendaftarkannya di sekolah muzik.


Selepas kemenangannya di Indonesia Got Talent, Putri terus mengeluarkan album studio dan pelbagai single. Salah satu kemuncak kerjaya mudanya setakat ini ialah beraksi pada majlis perasmian Sukan Para Asia 2018 di Jakarta.