Viral Awan Bergulung Latari Langit Di AS


Jarang Dilihat, Tular Awan Bergulung Latari Langit Di AS


Seperti sedia maklum, setiap kali kita mendongak ke langit, awan sentiasa mengalami pelbagai perubahan bentuk yang menarik perhatian sesiapa sahaja.


Pun begitu, sesetengah awan menghasilkan bentuk yang jarang dilihat dan memberikan petanda tentang cuaca yang bakal berlaku.


Baru-baru ini, beberapa penduduk di kejiranan Parrish, Florida, Amerika Syarikat digemparkan dengan penampakan awan aneh pada Jumaat.


Salah seorang penduduk di kawasan perumahan itu Alan Weber, mendakwa awan tersebut belum pernah dilihat mereka sebelum ini. Dia turut berkongsi beberapa gambar yang mendedahkan awan bergulung itu.


Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), fenomena tersebut dikenali sebagai Awan Gulung iaitu jenis salah satu jenis daripada “Awan Arcus”. Difahamkan, awan ini agak jarang berlaku dan berkait rapat dengan tiupan ribut petir.


Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian di bawah.


Apa itu Awan Arcus?


Menurut Jabatan Meteorologi United Kingdom (UK), Awan Arcus merupakan awan yang berjulat rendah dan lebar serta nipis. Kebiasaannya, awan ini membawa angin kencang dan ribut petir.


Perkataan arcus diambil daripada perkataan Latin, “Arch” yang bermaksud lengkungan. Awan ini biasanya berada pada ketinggian paling rendah hingga 6,500 kaki.


Ia sering terbentuk di bawah awan kumulonimbus (Cumulonimbus) dengan rupa bentuk yang lajur memanjang seperti gegelung.


Selain itu, awan arcus terbahagi kepada dua jenis iaitu, Awan Rak dan Awan Gulung. Berdasarkan gambar di atas merupakan contoh awan arkus jenis gulung.


Pembentukan Awan Arcus


Awan ini terbentuk apabila aliran udara sejuk hujan bertemu udara hangat dan lembap. Sementara itu, udara lembap hangat sedia ada akan ditolak ke atas dan keluar dari laluannya.


Perkara itu membuatkan wap air akan terpeluwap dan membentuk corak yang kita panggil ‘Awan Arcus’. Ia mudah untuk bergolek (bergerak) sekiranya mengalami perubahan arah angin di kawasan atas dan bawah.


Awan Gulung


Menurut Live Science dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), awan gulung terbentuk dari angin ribut yang “menggulung” awan ini menjadi selari dengan ufuk hingga membentuk seperti puting beliung mendatar.


Berbeza dengan awan rak, awan gulung terpisah daripada awan kumulonimbus selepas pembentukannya.


Ia juga boleh terbentuk ketika cuaca tenang di laut apabila udara di kawasan daratan luas memaksa jisim udara naik ke altitud ketinggian yang lebih sejuk dimana udara terkondensasi.


Untuk makluman, awan ini tidak digolongkan sebagai awan yang berbahaya.


Awan Rak 


Sementara itu, awan rak proses pembentukannya adalah sama namun bezanya ia kekal berada di bawah kaki awan kumulonimbus (awan ribut petir).


Menurut NWS, awan ini sering dikaitkan dengan cuaca buruk dan kelihatan berputar pada paksi mendatar.


Pada awalnya, awan ini akan membawa angin kencang sebelum diikuti dengan hujan.


Cuaca Berkaitan Awan Arcus


Seperti yang dimaklumkan di atas, awan ini terbentuk di bawah awan kumulonimbus. Kemunculan awan arkus berpotensi menandakan angin kencang, hujan lebat, hujan batu, guruh dan kilat bakal melanda.


Sekiranya awan ini melintasi anda, suhu di persekitaran biasa menurun (udara sejuk) sebelum hujan tiba.